Isnin, 10 Jun 2013

SEDIKIT DEMI SEDIKIT, LAMA-LAMA JADI BUKIT.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia (MAI),
 Mohamad Madani Sahari

KUALA LUMPUR 9 Jun - Langkah kerajaan untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat sebagai memenuhi aku janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 mula menampakkan hasilnya apabila 10 buah model kereta telah mencatatkan penurunan.

Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, beberapa model kereta daripada jenama Peugeot, Proton, Perodua, Volkswagen dan Honda masing-masing telah menyaksikan penurunan harga untuk fasa pertama.

Petanda awal positif ini jelas menunjukkan hasrat kerajaan menurunkan harga kereta sebanyak 20 hingga 30 peratus secara berperingkat sehingga 2017 bukan satu omongan kosong seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.


Sepuluh model yang telah menurunkan tanda harganya di pasaran setakat ini ialah Peugeot 308 (11 peratus), Volkswagen Golf (7.1%), Viva (5.4%), Myvi (4%), Persona (3.8%), Alza (3.4%), Preve (3%), Honda Jazz Hibrid (2.5%), Saga (1.1%) dan Exora (0.7%).

Pelan penurunan harga itu dilaksanakan dengan memberikan pengurangan duti eksais secara berperingkat terhadap pengeluar kereta yang menggunakan lebih banyak komponen tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, cara itu adalah lebih baik daripada memberikan pengurangan duti eksais sekali gus atau secara mendadak.

Katanya, walaupun duti eksais sekarang berada di tahap sekitar 65 hingga 105 peratus, tetapi pada hakikatnya, jumlah duti eksais yang dibayar oleh pengeluar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) hanyalah sekitar 40 hingga 50 peratus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan